ENAM perlawanan Liga Super Malaysia yang berlangsung pada Ahad dan Isnin lalu berjaya mencatat kehadiran penonton yang memberangsangkan ke stadium dan juga yang menonton secara langsung di platform YouTube unifi.

Statistik menunjukkan hampir 31,600 penonton hadir ke enam venue dengan purata kehadiran sebanyak 5,267 orang. Kehadiran tertinggi dicatatkan di Stadium Sultan Ibrahim dengan 13,252 penyokong diikuti di Likas dengan 10,192 orang.

Tiga venue lain iaitu di Petaling Jaya, Kuantan dan Kuala Terengganu mencatat jumlah lebih 2,000 penyokong manakala aksi dua pasukan terbawah liga di Pulau Pinang dihadiri hanya 1,030 orang.

 

Dua pasukan tempat teratas, Johor Darul Ta’zim dan Sabah FC sahaja yang berjaya menarik belasan ribu penyokong ke stadium secara konsisten dan bukannya berdasarkan lawan yang ditandingi.

Selain itu, statistik siaran langsung di saluran YouTube unifi juga melihatkan angka yang baik dengan lebih 5 juta tontonan berjaya dicatatkan. Angka ini tidak termasuk jumlah tontonan di platform unifi TV dan juga TV Okey.

Dengan purata 846,000 tontonan untuk perlawanan bukan pada malam minggu, ianya masih angka yang baik dengan perlawanan JDT dan Kuala Lumpur City FC meraih 1.3 juta tontonan manakala aksi Penang FC dan Sarawak United pula disaksikan oleh 453,000 mata.

Aksi Sabah FC dan Melaka United berjaya mencatat hampir 1 juta tontanan manakala pertemuan Sri Pahang dan Kedah Darul Aman mencatatkan 875,000 tontonan dengan perlawanan Terengganu FC dan PJ City FC pula ditonton hampir 705,000 penonton.

Perlawanan dramatik antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC pula ditonton oleh 795,000 penonton berdasarkan data yang dikeluarkan oleh unifi di laman YouTube.

Jumlah Tontonan YouTube unifi

Sekali lagi aksi melibatkan JDT berjaya menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan bukan hanya di stadium malah menerusi siaran langsung yang kini boleh ditonton dari pelbagai platform dan peranti.

Hujung minggu ini, aksi separuh akhir Piala FA pula akan berlangsung dengan empat pasukan yang mempunyai penyokong yang ramai pastinya akan hadir ke stadium dan juga menyaksikan perlawanan secara langsung dan ianya dijangka akan memberikan angka tontonan yang lebih besar.