SELANGOR FC akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila muncul juara MFL Challenge Cup 2024-25 selepas membelasah PDRM FC 4-0 dalam aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Kejayaan ini menyaksikan skuad Gergasi Merah mencatat kemenangan agregat 7-0, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai salah satu kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia. Ia juga menjadi detik penting dalam pembangunan pasukan di bawah kendalian jurulatih Katsuhito Kinoshi.

Kinoshi meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak buahnya tetapi menegaskan bahawa kejayaan ini hanyalah permulaan bagi perjalanan lebih besar.

“Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada sejarah Selangor FC, tetapi bagi kami, ini hanyalah batu loncatan untuk masa depan. Hari ini kami boleh meraikan kemenangan ini, tetapi bermula lusa, kami harus bersedia untuk sasaran seterusnya.

“Kami perlu meneruskan latihan berkualiti dan memastikan persiapan rapi untuk perlawanan yang akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada barisan pemain, kakitangan kejurulatihan, serta staf di belakang tabir yang bekerja keras memastikan kejayaan ini.

Pengendali asal Jepun itu turut ditanya mengenai sasaran seterusnya buat Selangor FC, terutama dalam usaha untuk merebut kedudukan kedua liga dan kelayakan ke kejohanan peringkat Asia.

“Saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain kami. Kami akan memberikan 100 peratus usaha dalam setiap perlawanan yang mendatang dan memastikan kami memperoleh keputusan terbaik. Selepas kejuaraan ini, tumpuan kami adalah untuk terus berusaha dan memperbaiki prestasi,” katanya.

Kemenangan ini pastinya menyuntik semangat Selangor untuk mengharungi baki saingan Liga Super dengan sasaran menamatkan musim di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus membuka peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim depan.