JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila sekali lagi muncul juara selepas mengenepikan cabaran Kuala Lumpur City FC 2-0 dalam aksi yang cukup menarik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Jaringan Shio Hong Wan dan Leandro Velasquez pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada Harimau Selatan sekaligus melengkapkan kejuaraan ke-24 sejak ditubuhkan pada 2013.

Tambah menarik, JDT berjaya muncul juara kali ini dengan rekod tanpa bolos dan menjaringkan 14 gol sepanjang kejohanan yang juga rekod baharu buat kelab selatan tanah air itu.

Kedua-dua pasukan tampil dengan barisan terbaik dan menampilkan aksi yang baik dengan JDT lebih banyak menguasai permainan manakala Kuala Lumpur City mempamerkan corak permainan bertahan.

Aksi bertahan itu berjaya mengehadkan percubaan JDT apabila hanya dua percubaan berbahaya dapat dicipta pada babak pertama menerusi Afiq Fazail dan Fernando Forestieri.

Kuala Lumpur City juga mempunyai dua peluang terbaik namun Syihan Hazmi tangkas menyelamatkan percubaan Matko Zirdum sebelum rembatan T. Saravanan gagal menemui sasaran meskipun tidak dikawal dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan dan berjaya meletakkan bola di dalam gawang namun Bergson sudah dikesan ofsaid oleh penjaga garisan.

Pembatalan jaringan itu membakar semangat Harimau Selatan dan akhirnya Shio Hong Wan meledak rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan Kevin Ray Mendoza pada minit ke-66 yang juga gol pertamanya musim ini.

33,598 penyokong yang hadir gembira apabila Leandro Velasquez menggandakan jaringan JDT pada minit ke-74 yang terus mematikan semangat melawan KL City yang terpaksa akur dengan kekalahan ini.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT sekali lagi diangkat sebagai juara Piala FA, kali ketiga dalam sejarah kelab sejak melakukannya pada 2016, 2022 dan kini 2023 manakala KL City mengalami kekalahan keenam berturut-turut ditangan JDT.