KUALA LUMPUR CITY FC akan menggunakan kempen Piala Malaysia 2022 sebagai medan untuk bangkit selepas tewas di final Piala AFC dan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

PDRM FC sudah tentu mahu dijadikan tempat untuk membalas dendam kekecewaan naib juara Piala AFC itu dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Meskipun hadir sebagai pelawat, namun KL City mempunyai banyak kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri dengan penyokong yang sudah mula kembali ke stadium memberikan sokongan buat mereka.

 

Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak bagaimanapun mengalami sedikit kesukaran terutama untuk kembali menaikkan semula motivasi para pemainnya kerana sedar ianya bukan mudah selepas tewas pada aksi final.

Namun Bojan tetap optimis dengan peluang yang ada dan dia turut menyeru para penyokong untuk datang ke stadium bagi memberikan sokongan kepada KL City dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya perlu mencari magis untuk menaikkan semula motivasi para pemain dan saya berharap ianya akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana ia akan menentukan bagaimana kami bangkit selepas kekalahan.

“Kehadiran penyokong bakal menjadi semangat buat para pemain dan saya harap penyokong KL City dapat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada kami,” katanya.

Nada yang sama turut dikongsi penyerang, Zhafri Yahya yang mahu dia dan rakan sepasukan kembali fokus kepada aksi Piala Malaysia dan berharap dapat melakukan sesuatu dalam kempen kali ini.

“Kami akan lupakan kekecewaan di Piala AFC dan fokus kepada Piala Malaysia kerana kami mempunyai sejarah yang baik di dalam saingan ini sebagai juara bertahan dan sudah tentu jurulatih mempunyai perancangan yang terbaik untuk menghadapi saingan kali ini,” jelasnya.

Sementara itu PDRM FC pula yang mengakhiri saingan Liga Premier di tangga keenam mahu menggunakan pentas Piala Malaysia ini sebagai persiapan bagi menghadapi Liga Super musim hadapan dan berharap dapat melakukan kejutan terhadap juara bertahan.

Di atas kertas, KL City akan turun sebagai pasukan pilihan tetapi dalam pertandingan piala yang penuh magis, Sang Saka Biru mampu melakar kejutan mencipta sejarah membenam juara bertahan Piala Malaysia.