JURULATIH Selangor FC, Tan Cheng Hoe akui kemenangan bertemu Melaka United merupakan aksi langkah kanan buat pasukan tersebut.
Jelasnya, dia tidak menjangkakan jaringan sebegitu besar mampu dihasilkan menerusi sentuhan pertamanya bersama Selangor FC.
Dengan bakat besar yang dimiliki pemain baharu dan lama, dia berharap kombinasi tersebut mampu mengembalikan kegemilangan skuad tersebut untuk menjadi pasukan yang kembali digeruni.

“Memang satu permulaan yang baik. Sesuatu yang boleh memberi keyakinan kepada pemain. Kita tidak jangka kita menang 5-0. Saya yakin pemain jika diberi masa mampu perbaiki lebih baik.
“Rata-rata pemain muda berbakat besar, diberikan dorongan dan keyakinan untuk meneruskan ke tahap seterusnya. Kita harap mereka dapat terus konsisten dalam permainan akan datang.
“Saya harap pemain akan meningkat dari corak permainan dan semangat juang yang tinggi dan bangkit dari segi teknikal dan pemahaman pasukan sangat penting.

“Saya juga harap pemain senior dapat membantu pemain muda untuk masa hadapan masing – masing juga,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Berbaki 3 perlawanan, Selangor FC dilihat mampu sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan dan mencuba beberapa gandingan untuk digunakan pada saingan musim hadapan.