Malaysian Football League (MFL) memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL telah meluluskan permohonan Kuala Lumpur City FC untuk mendapatkan kelulusan khas bagi pendaftaran minimum 12 pemain bagi perlawanan Unifi Liga Super 2026-2027 menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Jam 9.00 malam ini.

Keputusan tersebut dibuat selepas MFL menerima permohonan rasmi daripada Kuala Lumpur City FC berhubung status pendaftaran pemain kelab susulan proses penyelesaian beberapa kes tunggakan yang melibatkan bekas pemain sehingga dikenakan Larangan Pendaftaran Pemain oleh FIFA.

Berdasarkan surat permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Kuala Lumpur City FC kepada MFL bertarikh 26 Ogos 2026, kelab itu memaklumkan telah menyelesaikan kes tunggakan bayaran kepada bekas tiga pemain import bagaimanapun masih menunggu proses kelulusan FIFA untuk menarik balik Perintah Larangan Perpindahan Pemain itu.

Sekiranya Perintah Larangan Perpindahan Pemain itu kekal sebelum sepak mula perlawanan malam ini, maka Kuala Lumpur City FC memohon Kelulusan Khas untuk mendaftarkan minimum 12 pemain.

Sehubungan dengan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju dengan permohonan itu dan memberikan Kelulusan Khas kepada Kuala Lumpur City FC.

Dalam masa yang sama, Kuala Lumpur City FC diingatkan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi melengkapkan proses pendaftaran pemain dan memastikan senarai pemain pasukan dipenuhi sebelum tarikh tutup pendaftaran pertama Liga Malaysia 2026-2027 pada 3 September 2026.