SEMAKIN hari bertambah padu prestasi pemain skuasy negara, S Sivasangari yang berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.
Segar dengan kejayaan merangkul gelaran Terbuka Hong Kong FC, Sabtu lalu, Sivasangari memperagakan mula mencipta kejutan menyingkir pemain pilihan ke 9/16 Kanada, Hollie Naughton 3-0 pada pusingan ketiga.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu hanya memerlukan 23 minit bagi mengesahkan tiket ke suku akhir menerusi kemenangan 11-5, 11-5, 11-7.
Menurutnya, kejayaan muncul juara Sabtu lalu meningkatkan lagi tahap keyakinan bagi menghadapi kejohanan minggu ini.
“Saya sangat gembira dengan permainan hari ini menentang Hollie yang melakar kemenangan besar sebelum ini (menewaskan pilihan kedua dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver di pusingan kedua).
“Saya bernasib baik dapat menyesuaikan diri dengan cepat apabila sebelum ini bermain di gelanggang biasa, tetapi hari ini bertukar di gelanggang kaca dan ia akan agak mencabar.
“Namun, saya berjaya mendapat rentak permainan dan apabila ada peluang saya hanya yakin dengan pukulan-pukulan saya,” katanya kepada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas tamat perlawanan.
Sivasangari yang menghuni ranking ke-22 dunia akan membuat perhitungan dengan Nele Gilis dari Belgium bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.