PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim dilihat tidak senang duduk sepanjang separuh masa pertama selepas anak buahnya bergelut mengekang asakan bertenaga daripada skuad ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Skuad pilihan Amorim nyata tertekan sejak wisel permulaan apabila pemain bernombor 9, Hai Long Nguyen dari Vietnam menjadi pencetus utama kekacauan di benteng pertahanan The Red Devils. Pergerakannya lincah dan bijak memecah ruang, menyebabkan gandingan pertahanan Maguire-Dalot tidak mampu memberi tekanan yang konsisten.

Pada minit ke-26, Sandro Miguel hampir meledak gol pembukaan apabila melakukan percubaan menarik dari luar kotak penalti. Penjaga gol United, Andre Onana sekadar mampu menepis bola tersebut, sebelum ia diselamatkan pantas oleh pertahanan United yang tenat menampan serangan bertubi-tubi.

Melihat corak permainan yang dikuasai penuh oleh pasukan ASEAN yang tampil lebih yakin dan dominan, Amorim segera melakukan empat pertukaran drastik pada minit ke-30. Sekou Kone, Jaydan Kamason, Daniel Arner dan Shea Lacey dimasukkan menggantikan Casemiro, Rasmus Hojlund, Harry Maguire dan Diogo Dalot dalam usaha menstabilkan permainan.

Namun skuad ASEAN terus memberi ancaman, dan hampir dihukum pada minit ke-33 apabila Kobbie Mainoo berjaya melepaskan satu percubaan kemas ke arah gawang. Mujur bagi ASEAN, Patiwat Khammai cemerlang menafikan cubaan tersebut dengan aksi tangkas yang mendapat sorakan padu penyokong.

Perlawanan kekal terikat 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama, namun jelas kelebihan psikologi memihak kepada ASEAN All-Stars yang bermain dengan penuh keyakinan dan semangat luar biasa.