KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu penambahbaikan kualiti fasiliti di semua kelab bola sepak negara ini.

Ini selepas dia selesai melakukan lawatan ke Thailand untuk melihat sendiri aksi dua pemain negara yang beraksi di Liga Thailand, Safawi Rasid dan Dion Cools di Ratchaburi dan Buriram.

Fasiliti latihan terbaik penting untuk pemain meningkatkan keupayaan mereka selain dapat membantu pemulihan pemain dengan lebih cepat selain memberikan rasa professionalisme kepada para pemain untuk bermain dengan kelab yang disertai.

Kim Pan-gon

“Saya bersetuju dengan TMJ supaya lebih banyak dana perlu dilaburkan untuk menambah baik infrastruktur kerana ianya buat para pemain terutama untuk mempercepatkan proses pemulihan dan untuk mereka memberikan yang terbaik kepada kelab,” katanya ketika pertemuan dengan media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Pan-gon juga berterima kasih kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana memberi peluang untuk Harimau Malaya beraksi di Stadium Sultan Ibrahim untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac 2023.

Dia berharap dengan keadaan padang yang baik di stadium itu para pemainnya boleh bermain dengan lebih pantas dan juga peluang terbaik membiasakan diri untuk bermain di padang jenis Zeon Zoysia yang mempunyai kualiti yang sama seperti beberapa stadium di Qatar di mana Malaysia bakal bermain di sana ketika Piala Asia pada Januari 2024.

Stadium Sultan Ibrahim

“Ini pertama kali skuad saya bermain di Johor. Dengan stadium dan padang yang berkualiti, pemain boleh bermain lebih pantas kerana gerakan bola yang lebih laju. Perkara ini sangat mengujakan dan saya jangkakan perlawanan yang baik di Johor.

“Ianya juga adalah masa yang tepat buat para pemain Harimau Malaya untuk menyesuaikan diri dengan padang di Johor kerana ianya mempunyai kualiti yang sama dengan stadium Piala Dunia di Qatar. Terima kasih kepada JDT kerana beri peluang untuk bermain di Johor,” tambahnya.

Skuad Harimau Malaya bakal berhadapan Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac dalam dua aksi yang termasuk dalam kalendar antarabangsa Fifa itu di Stadium Sultan Ibrahim dengan mata ranking diperlukan untuk memastikan Malaysia kekal dalam ranking 25 terbaik Asia bagi tahun 2023.