KELAB Liga 1 Indonesia, Persis Solo telah menerima tawaran yang ditawarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjalani latihan bersama dan perlawanan ujian di Johor.
Menerusi kenyataan media rasmi yang dikeluarkan kelab Solo itu, mereka turut akan menggunakan kesempatan ini untuk turut belajar dengan JDT tentang pengurusan kelab, padang latihan, stadium dan pelbagai hal berkaitan bola sepak.
Liga Indonesia yang kini digantung seketika sementara menunggu laporan audit susulan Tragedi Kanjuruhan yang meragut ratusan nyawa awal Oktober lalu menyaksikan banyak kelab melakukan latihan persendirian bagi memastikan semua pemain kekal cergas.
𝐏𝐄𝐑𝐒𝐈𝐒 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐮𝐡𝐢 𝐮𝐧𝐝𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐉𝐨𝐡𝐨𝐫 𝐃𝐚𝐫𝐮𝐥 𝐓𝐚'𝐳𝐢𝐦 𝐅𝐨𝐨𝐭𝐛𝐚𝐥𝐥 𝐂𝐥𝐮𝐛 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐭𝐫𝐚𝐢𝐧𝐢𝐧𝐠 𝐜𝐚𝐦𝐩 𝐝𝐚𝐧 𝐥𝐚𝐠𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐚𝐡𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐉𝐨𝐡𝐨𝐫. 📌
Selengkapnya: https://t.co/CKxHxg1myQ#SambernyawaComingToJohor pic.twitter.com/uJlEqWEzr8
— PERSIS (@persisofficial) November 7, 2022
“Berdasarkan surat yang diterima oleh Persis pada 4 November daripada Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang memberikan undangan kem latihan dan perlawanan persahabatan di Johor pada 9-18 November 2022, pengurusan Persis memutuskan untuk menerima undangan dari kelab yang beraksi di Liga Super Malaysia itu.
“Selain menyertai kem latihan dan perlawanan persahabatan, pengurusan Persis juga merancang untuk melakukan lawatan sambil belajar mengenai pengurusan kelab, infrastruktur, sistem akademi dan juga pengurusan yang diterapkan oleh JDT.
“Dengan pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan Asia oleh JDT sedekad ini, Laskar Sambernyawa menganggap bahawa ada banyak perkara yang boleh dipelajari untuk mengurus kelab secara profesional dalam industri bola sepak moden,” tulis kenyataan media itu.
Sebanyak 26 pemain berserta pegawai pasukan akan ke Johor dan jurulatih Persis Solo Leonardo Medina menganggap peluang yang hadir ini adalah baik untuk menguji pasukannya mencuba lawan yang mempunyai tahap dan pertandingan yang berbeza.
JDT adalah kelab besar dan salah satu jenama yang cukup berpengaruh di Asia. Kejayaan mereka meraih juara liga di Malaysia dengan gandingan pemain tempatan dan antarabangsa sangat bagus dan menjadi sesuatu yang boleh dicontohi,” katanya.
Kunjungan Persis Solo ke Johor Bahru juga pastinya bagaikan pertemuan semula bekas pemain import JDT, Fernando Rodriguez dengan kelab lamanya selepas dia kini menyarung jersi Persis.
Persis Solo kini ditangga ke-13 Liga 1 Indonesia dengan 11 mata dari 11 perlawanan manakala JDT pula semakin mendekati aksi separuh akhir Piala Malaysia dalam usaha mereka bergelar juara ‘Quadruple’ buat pertama kali.