PRESIDEN Kelantan Red Warriors (KRW), Nik Hafiz Naim Nik Hassan menegaskan bahawa kelab pimpinannya tidak mempunyai kaitan langsung dengan Kelantan FC yang dimiliki oleh Norizam Tukiman, susulan isu yang dibangkitkan oleh FIFA baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, Nik Hafiz berkata KRW adalah entiti yang ditubuhkan dengan struktur berasingan — termasuk syarikat, pengurusan, pejabat, pemain dan logo yang berbeza sepenuhnya daripada Kelantan FC.
“Cuma kita bawa nama Red Warriors dan warna merah putih sebab itu warna bendera negeri Kelantan,” ujarnya, menolak sebarang tanggapan bahawa KRW berkait secara sah dengan pasukan Liga Super tersebut.
Isu ini timbul apabila FIFA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada KRW melalui FAM, meminta penjelasan berhubung dakwaan hubungan kelab baharu itu dengan Kelantan FC. Namun, Nik Hafiz menjelaskan pihaknya telah pun menghantar surat jawapan rasmi kepada FIFA semalam bagi menjernihkan keadaan.
Tambahnya lagi, spekulasi ini timbul mungkin kerana beliau pernah memegang jawatan pengurusan dalam Kelantan FC sebelum meletakkan jawatan dan melepaskan pegangan saham sebanyak lima peratus dalam kelab berkenaan.
“Saya dah keluar daripada jawatan Pengarah, saham pun saya lepaskan. KRW adalah entiti baharu dan kita hadap ini sebagai cabaran,” katanya.
Dalam masa sama, isu ini langsung tidak menjejaskan persiapan KRW menjelang aksi persahabatan menentang Terengganu FC esok di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.