PASUKAN PDRM FC kecewa apabila gagal mempertahankan kelebihan aggregat yang diperolehi pada perlawanan pertama apabila tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan FC sekaligus tersingkir dari saingan Piala Malaysia menerusi aggregat 2-4.
Namun begitu perjuangan mereka masih belum selesai dan kini kembali ke Piala Cabaran di mana mereka mampu untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu untuk menjadi pasukan pertama berbuat demikian.
Penolong jurulatih Sang Saka Biru, Eddie Gapil mengakui kesilapan individu yang sering dilakukan semasa perlawanan menyebabkan mereka dihukum lawan dan perkara ini akan diperbaiki menjelang baki saingan liga dan Piala Cabaran.
“Ini bukan keputusan yang kita mahu dan jangka tetapi ini terjadi apabila kita melakukan kesilapan individu dan tidak bermain baik sebagai satu pasukan yang mengundang pada kekalahan ini.
“Kita akan beraksi di Piala Cabaran dan jika benar rezeki kami di sana, kami akan lakukan yang terbaik kerana kami berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan di kejohanan itu,” katanha dalam sidang media selepas perlawanan.
Bermain dalam keadaan padang yang basah, PDRM dilihat bergelut untuk mempertahankan kelebihan aggregat satu gol dengan skuad Jang melancarkan serangan demi serangan untuk merapatkan jurang gol.
Usaha berterusan anak-anak buah K.Nanthakumar membuahkan hasil apabila Jacque Faye, Hadin Azman dan A.Selvan masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan kemenangan dan layak ke suku akhir bertemu Terengganu FC.