BOLA sepak Malaysia kini memasuki fasa “reset” apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalani proses reformasi menyeluruh di bawah pengawasan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), satu langkah yang disifatkan sebagai peluang terakhir untuk menyelamatkan ekosistem bola sepak negara daripada hukuman lebih berat.
Proses penilaian itu dilaporkan bermula semalam dan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemerhati bola sepak tempatan, Dato Christopher Raj menyifatkan tindakan AFC itu sebagai satu usaha ‘menyelamat’, mengumpamakan badan induk Asia itu seperti seorang ayah yang tampil membantu anaknya sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Menurutnya, peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM adalah langkah berani dan tepat bagi membuka ruang kepada reformasi sebenar.
“Usaha AFC ini cukup murni. Ia memberi peluang terbaik untuk FAM ‘reset’ secara total. Bukan semuanya buruk, ada aspek yang dilakukan FAM memang baik, tetapi dengan ‘reset’ keseluruhan, kebaikan itu boleh ditambah baik dari segi pentadbiran, kewangan, pembangunan, ketelusan dan tanggungjawab,” katanya.
Christopher turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi saranan AFC boleh membawa kesan besar, bukan sahaja kepada pentadbiran, malah kepada pasukan kebangsaan lelaki dan wanita yang berisiko disekat daripada menyertai kejohanan antarabangsa jika FAM digantung.
“FAM mesti menerima dan mengikut cadangan AFC secara tulus. Jangan buat separuh jalan, lepas itu kata ini tak boleh ikut, itu pun tak boleh ikut. Jika gagal, mereka sendiri perlu bertanggungjawab,” tegasnya.
Dalam konteks ini, AFC dilihat berperanan sebagai pemantau dan penasihat bagi memastikan tadbir urus FAM kembali selari dengan standard antarabangsa, sekali gus membuka lembaran baharu buat bola sepak Malaysia.
Christopher berharap semua pihak, termasuk warga FAM dan penyokong, memberikan sokongan penuh agar proses reformasi ini berjaya demi masa depan bola sepak negara.