BOLA SEPAK Turki digegarkan dengan skandal pertaruhan terbesar dalam sejarahnya apabila Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) mengumumkan penggantungan ke atas 1,024 pemain selepas siasatan besar-besaran mendapati pembabitan mereka dalam aktiviti perjudian bola sepak.
Krisis moral yang disifatkan sebagai “terburuk dalam era moden” itu turut menyaksikan 149 pegawai perlawanan dan pengadil digantung, manakala 21 individu — termasuk dua presiden kelab dan 17 pengadil — kini dalam tahanan pihak berkuasa Turki.
Menurut laporan media Turki, antara pemain yang digantung termasuk 27 daripada saingan Liga Super Turki, dengan kesemua mereka dirujuk ke Lembaga Tatatertib Bola Sepak Profesional (PFDK) untuk tindakan lanjut. Gergasi bola sepak Turki, Besiktas dan Galatasaray, turut terpalit apabila beberapa pemain mereka disiasat, namun kedua-dua kelab itu menegaskan keyakinan terhadap “kejujuran dan integriti” pemain terbabit.
Situasi ini memaksa TFF menangguhkan semua perlawanan di divisyen ketiga dan keempat selama dua minggu, sementara dua liga teratas diteruskan seperti biasa. Susulan kekurangan pemain akibat penggantungan besar-besaran itu, TFF turut memohon kepada FIFA agar memberikan lanjutan 15 hari bagi tempoh perpindahan musim sejuk untuk membantu kelab mengisi semula skuad masing-masing.
Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, mendedahkan betapa seriusnya masalah ini apabila siasatan mendapati 371 daripada 571 pengadil memiliki akaun perjudian — dengan 152 daripadanya aktif, dan 42 pengadil dilaporkan membuat lebih daripada 1,000 pertaruhan. Malah, seorang pengadil dikesan membuat 18,227 pertaruhan secara individu.
“Saya tidak menafikan ini adalah krisis moral buat bola sepak Turki. Ia mencemar nilai integriti yang sepatutnya dijunjung dalam sukan ini,” kata Haciosmanoglu yang mengakui pihaknya telah menaikkan kadar bayaran kepada pengadil dalam dua tahun terakhir, namun masih gagal membendung budaya pertaruhan.
Skandal yang didedahkan pada 27 Oktober lalu itu kini menjadi tumpuan dunia bola sepak antarabangsa, dengan pemerhati menyifatkan langkah berani TFF sebagai isyarat tegas untuk memulihkan reputasi liga domestik yang semakin tercalar akibat isu integriti dan ketirisan moral di kalangan pegawai serta pemain.