AKSI hari kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 menyaksikan persaingan semakin sengit dalam semua kumpulan, dengan beberapa pasukan menunjukkan dominasi jelas termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan tuan rumah, Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
Dalam Kumpulan A, SSTMI membuktikan status mereka sebagai juara bertahan apabila menamatkan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan sempurna. Mereka menewaskan SMK Belara 19-12 sebelum membenam MRSM Balik Pulau 36-7 dan menutup kempen kumpulan dengan kemenangan bergaya 31-0 ke atas SMK Hosba. Dengan 86 mata dijaringkan dan hanya 19 dibolosi, SSTMI jelas bersedia untuk mempertahankan mahkota kejuaraan.
Kumpulan B pula menjadi pentas dominasi penuh SSMP yang menutup saingan kumpulan tanpa bolos – satu pencapaian luar biasa. Mereka memulakan langkah dengan kemenangan 19-0 ke atas Kolej Vokasional Arau, diikuti kemenangan besar 48-0 ke atas STAR Ipoh sebelum menewaskan EC 34-0. SSMP kini dilihat sebagai ancaman utama kepada pasukan-pasukan lain dalam perebutan Piala NJ Ryan.
Sementara itu, tuan rumah MCKK nyata tidak mahu malu di laman sendiri apabila tampil garang dalam Kumpulan C. Mereka membuka kempen dengan kemenangan 31-0 ke atas INTEK sebelum membelasah SMAD 69-0 dan menewaskan SMS Faris Petra 39-5. Dengan kutipan 139 mata dan hanya 5 dibolosi, skuad The Malay College muncul antara pasukan paling menyerlah setakat ini.
Dalam Kumpulan D, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga (ARAS) membuktikan keupayaan sebagai ‘dark horse’ apabila meraih tiga kemenangan termasuk menumpaskan RMC 26-0 dan SEMSIRA 45-5. Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII) turut menunjukkan taring dengan dua kemenangan, namun kekalahan kepada ARAS meletakkan mereka di tempat kedua kumpulan.
Persaingan dalam Kumpulan E tidak kurang menariknya apabila SMK Tun Hussein Onn (THOR) menampilkan aksi luar biasa. Mereka menewaskan Vajiravudh College (VC) dari Thailand 27-0 dan menjaringkan keseluruhan 132 mata dalam tiga perlawanan – antara tertinggi dalam kejohanan. Wakil Thailand, VC pula sekadar meraih tempat kedua selepas tewas kepada THOR.
Satu lagi wakil antarabangsa, Shizuoka Seiko Academy (SSA) dari Jepun, menepati ramalan apabila mengungguli Kumpulan F dengan tiga kemenangan, termasuk menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan SMK Telok Mas (AKRAM). SSA dilihat memiliki struktur permainan kemas dan taktikal tinggi yang menyukarkan lawan mereka. SMK Victoria (VI) pula muncul pencabar terkuat dalam kumpulan dengan dua kemenangan.
Dengan saingan memasuki fasa penentuan hari terakhir esok, pentas final Plate dijangka menjadi pertarungan sebenar buat semua pasukan memburu kebanggaan. Tumpuan pasti tertumpu kepada SSTMI, SSMP, MCKK dan THOR yang muncul selaku pasukan paling konsisten setakat ini.