KELAB  Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkemas barisan hadapan mereka bagi musim 2025-2026 apabila sah mendapatkan penyerang kebangsaan, Joao Figueiredo, bagi memperkukuh jentera serangan menjelang saingan domestik dan Asia.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Harimau Selatan selepas mencipta impak bersama kelab Turki, Basaksehir, serta mempamerkan aksi bertenaga ketika Malaysia membelasah Vietnam 4-0 dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.

“Joao Figueiredo membawa komitmen dan kesungguhan beliau kepada Johor Darul Ta’zim FC,” demikian kenyataan rasmi kelab menerusi laman Instagram @officialjohor.

Sepanjang tiga musim bersama Basaksehir, Figueiredo telah mencatatkan 102 penampilan, menjaringkan 24 gol dan mencipta empat bantuan jaringan, sekali gus membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang berprofil tinggi.

Selain berperanan sebagai penyerang utama, fleksibiliti Joao yang turut mampu beraksi di sayap kiri memberikan lebih banyak pilihan taktikal buat pengendali JDT, Xisco Munoz. Kepantasan dan kemahiran menggelecek yang dimilikinya bakal menjadi aset penting dalam memecah benteng lawan.

Langkah membawa masuk Figueiredo turut memberi isyarat jelas bahawa JDT bersedia kembali bersaing di pentas tertinggi benua, terutamanya dalam saingan AFC Champions League musim ini. Pengalaman luas beliau di liga Eropah dan Asia diyakini mampu memberi impak dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Setakat ini, Harimau Selatan telah memperkukuh skuad dengan beberapa pemain berkualiti seperti Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel, Ibrahim Manusi, Jairo dan Moussa Sidibé – membentuk sebuah skuad yang bukan sahaja berbahaya di dalam negara, malah cukup bersedia untuk menggegar Asia.