PETINJU muay thai negara, Elias ‘EZ’ Ghazali membuktikan keampuhan mental dan taktikalnya ketika mencapai kemenangan ke atas Fahri ‘Machete’ dari Indonesia di Fury Redemption.

Pertarungan utama flyweight di Arena Sukan Kuala Lumpur itu menyaksikan perang tiga pusingan berdarah sebelum Elias diangkat pemenang menerusi keputusan sebulat suara juri.

Tanpa gentar menghadapi reputasi lawan, Elias mempamerkan disiplin tempur tinggi, mengawal rentak dan menekan dengan konsisten hingga menundukkan petarung yang terkenal sukar ditumbangkan.

“Kemenangan ‘unanimous decision’ sudah cukup buat saya, perancangan menjadi walaupun KO tidak menjadi kenyataan hari ini,” kata Elias ringkas namun penuh makna selepas pertarungan semalam.

Anak sulung keluarga Ghazali itu turut mengakui sudah mengerah variasi serangan termasuk siku, namun ketahanan fizikal dan mental Fahri memaksa perlawanan dilengkapkan hingga ke loceng terakhir.

Di sudut lawan, Fahri mengakui Elias bukan mangsa mudah sambil menerima keputusan dengan terbuka selepas gagal merealisasikan niatnya sendiri untuk mencuri KO.

“Saya cuba KO, tetapi dia sangat keras, jadi saya bertarung dengan lebih berhati-hati untuk kumpul mata,” ujar Fahri yang masih belum pernah tewas menerusi KO sepanjang kariernya.

Kemenangan Elias menjadi simbol kekuatan mental petarung negara pada malam penuh aksi itu yang turut menyaksikan deretan kemenangan pejuang tempatan lain, mengesahkan Fury Redemption sebagai pentas maruah sukan tempur Malaysia.