LEBIH 500 pelumba cilik, termasuk 100 peserta antarabangsa dari Thailand, Indonesia dan Singapura, membanjiri Pulau Langkawi bagi menyertai M8 Langkawi International Runbike Championship 2025 yang bermula Jumaat hingga Ahad, menjadikan edisi kali ini antara yang paling kompetitif dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli menyifatkan penyertaan luar biasa tahun ini sebagai bukti kejohanan ini kini menjadi medan utama pencungkil bakat serantau, dengan kehadiran wakil terbaik dari negara jiran yang bakal menguji keupayaan pelumba tempatan dalam setiap kategori.

“Tahun ini, setiap negara tampil dengan pelumba terbaik mereka. Saingan memang sangat sengit dan inilah pentas sebenar untuk kita lihat siapa yang paling pantas di Asia Tenggara dalam sukan pushbike,” katanya.

Antara tumpuan sudah pasti terarah kepada Maleeq Dragster, pelumba sensasi negara yang satu-satunya pernah menjuarai kejohanan di Jepun serta merangkul kejuaraan di Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand.

Bintang muda itu muncul sebagai pilihan utama bagi menjuarai kategori terbuka, namun bakal menerima tentangan sengit daripada Horbint (Thailand), Adrian (Singapura) serta kontinjen besar dari Indonesia.

Bagi kategori wanita pula, tumpuan pasti terarah kepada Wan Adra Mikayla yang kembali sebagai juara bertahan. Lebih membanggakan, Mikayla turut bergelar juara RCB Minimoto Championship 2025, menjadikannya antara pelumba serba boleh yang ditakuti.

Seorang lagi yang tidak kurang menyerlah ialah Mikael, pelumba kategori bawah umur 2017 yang turut aktif dalam perlumbaan motosikal. Aksi konsistennya menjadikan dia antara calon utama mencipta kejutan dalam edisi kali ini.

Kejohanan kali ini turut mendapat kerjasama erat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), LADA, KBS, KPM dan PKBM, sekali gus mengangkatnya sebagai antara acara pra-pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.