PERJALANAN Kuching City F.C. ke pentas final Piala Malaysia bukan sekadar cerita kemenangan, tetapi sebuah kisah epik tentang keberanian, kesabaran dan mimpi yang tidak pernah padam. Mereka menumbangkan Selangor F.C. dengan agregat 2-1 dalam aksi penuh debaran, sekaligus membuka lembaran baharu dalam sejarah bola sepak Sarawak.
Bermula dari bawah, dari gelanggang sederhana Liga Bolasepak Rakyat, siapa sangka pasukan ini kini berdiri megah di pentas terbesar. Apa yang dahulunya sekadar angan-angan kini menjadi realiti yang menggetarkan seluruh penyokong mereka, sebuah perjalanan yang membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam bola sepak.
Langkah pertama mereka bermula sekitar musim 2015-16, sebelum menapak ke Liga FAM pada tahun 2017 dan 2018. Walaupun masih hijau, semangat juang mereka sudah mula terserlah apabila berjaya melangkah sehingga ke pusingan kedua Piala FA, satu petanda awal bahawa pasukan ini memiliki sesuatu yang istimewa.

Logo lama pasukan Kuching City FC yang dahulu dipanggil sebagai Kuching FA
Tahun 2019 menjadi titik penting apabila legenda Sarawak, Joseph Kalang Tie, menyarung jersi dan memimpin pasukan di Liga M3. Beliau bukan sahaja menjadi nadi pasukan, malah muncul sebagai penjaring terbanyak dan membawa Kuching City ke tangga kedua liga—membuka jalan ke pentas lebih tinggi melalui aksi playoff yang menyaksikan mereka menewaskan pasukan Sarawak sendiri.
Dari situ, mereka terus mendaki. Tiga musim di Liga Premier menyaksikan konsistensi yang semakin matang tempat ketiga, diikuti kedudukan kelima, sebelum sekali lagi mengakhiri musim 2022 di tangga ketiga. Dalam masa yang sama, mereka juga menunjukkan taring dalam saingan piala dengan mara hingga ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Kemunculan di Liga Super pada 2023 mungkin bermula dengan langkah yang goyah apabila mereka menamatkan musim di tangga ke-13, namun semangat juang mereka tidak pernah luntur. Mereka bangkit mencipta kejutan dengan mara ke final MFL Challenge Cup sebelum tewas kepada PDRM, satu pengalaman berharga yang mematangkan pasukan.
Musim 2024-25 menjadi saksi kebangkitan sebenar. Kuching City menamatkan liga di tangga keempat dan terus konsisten dalam kejohanan piala, sekali lagi mara ke suku akhir. Namun musim ini, mereka melangkah lebih jauh lebih berani, lebih lapar, dan lebih bersedia untuk mencipta sejarah.
Walaupun langkah mereka dalam Piala FA terhenti di tangan Johor Darul Ta’zim F.C. di peringkat separuh akhir, mereka bangkit dengan penuh tekad dalam saingan liga apabila kini menghuni tangga kedua Liga Super, berkongsi mata dengan Selangor. Jika momentum ini diteruskan, pentas Asia di ACL2 bukan lagi sekadar mimpi.
Kini, segala tumpuan terarah ke 23 Mei, hari penentuan yang bakal mengukir sejarah. Di pentas final Piala Malaysia, Kuching City sekali lagi akan berdepan Johor Darul Ta’zim. Ini bukan sekadar perlawanan, tetapi peluang untuk menutup musim dengan penuh gemilang mengangkat trofi pertama dan mengukir nama sebagai kuasa baharu bola sepak negara.
Berawal daripada impian untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara, kini mereka berdiri tinggi bersama pasukan gergasi negara yang lain dan di dalam proses mencipta sejarah manis bukan sahaja buat mereka tetapi buat bola sepak Sarawak.