HASRAT penyokong Terengganu FC (TFC) untuk melihat dua tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menyarung jersi pasukan itu hampir menjadi kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas, berkata, perbincangan pihaknya bersama dua pemain itu kini di peringkat akhir sebelum dapat dimuktamadkan.
Mohd Sabri bagaimanapun dilihat masih memilih pendekatan tunggu dan lihat meskipun memberi bayangan jentera serangan TFC bakal diperkuatkan dua pemain sayap itu.

Safawi Rasid
“Saya tahu ramai tertunggu-tunggu terutamanya penyokong setia TFC, mengenai pengesahan dua pemain itu untuk bersama kami bagi musim 2024/25.
“Setakat ini untuk sahkan (kehadiran) mereka mungkin belum masanya lagi tetapi kita sedang ke arah itu dan ianya menunjukkan perkembangan positif.

Akhyar Rashid
“Tunggu sedikit masa lagi,” katanya kepada FLASH SUKAN pada majlis memorandum persefahaman antara TFC dan syarikat penjagaan kesihatan, Hijraa Management Sdn. Bhd. di sebuah hotel Ahad malam.
Pada majlis itu Hijraa Management Sdn. Bhd. yang terkenal dengan Klinik Perubatan Hijraa menyalurkan penajaan RM500,000 kepada TFC sebagai persiapan menghadapi musim ini.