Select Page

Kump E : Samurai Biru menang 2-1, mara ke Pusingan 16

Kump E : Samurai Biru menang 2-1, mara ke Pusingan 16

JEPUN berjaya mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Sepanyol 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E. Samurai Biru layak sebagai juara kumpulan, manakala La Furia Roja sebagai naib juara.

Beraksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, awal pagi Jumaat, Sepanyol mendahului pada minit ke-11. Alvaro Morata membuka jaringan dengan tandukan selepas memanfaatkan hantaran lintang Cesar Azpilicueta. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Pada separuh masa kedua, kemudian Jepun bangkit. Ritsu Doan menjaringkan gol pada minit ke-48 selepas rembatan jarak jauhnya gagal ditepis dengan sempurna oleh penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

Tiga minit kemudian, Jepun mendahului. Ao Tanaka memecah masuk ke gawang Sepanyol selepas menerima hantaran Kaoru Mitoma. Gol ini menjadi kontroversi kerana kedudukan bola seakan-akan sudah terkeluar dari padang sebelum Mitoma menyepaknya.

Bagaimanapun, tayangan semula dari VAR gagal mengesan sebarang bukti bahawa bola telah keluar. Gol Tanaka disahkan.

Ketinggalan 1-2, Sepanyol cuba menyamakan kedudukan, terutama dalam satu lagi perlawanan Costa Rica sedang mendahului 2-1 ke atas Jerman. Jika keadaan ini berterusan, maka Sepanyol akan tersingkir.

Tetapi apabila Jerman mendahului 4-2, Sepanyol bermain lebih santai. Biarpun kedudukan kekal 2-1 kepada Jepun sehingga perlawanan tamat, Sepanyol boleh menarik nafas lega kerana sudah pasti mereka layak ke pusingan seterusnya.

Dengan keputusan ini, Jepun mengungguli kedudukan terakhir Kumpulan E dengan enam mata, manakala Sepanyol di tempat kedua dengan empat mata, menerusi perbezaan gol dari Jerman, yang berada di tempat ketiga dan mempunyai mata yang sama.

Video Terkini

Loading...