SALAAH Al Yahyaei dari Oman dan Weerathep Pomphun dari Thailand berazam untuk memberikan pasukan masing-masing tiga mata apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam Kumpulan F Piala Asia AFC 2023 hari ini.

Oman memerlukan kemenangan untuk mengembalikan kempen mereka selepas kekalahan kepada Arab Saudi manakala Thailand yang menewaskan Kyrgyzstan pada perlawanan pembukaan mereka akan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati dengan tambahan tiga mata.

Al Yahyaei menghasilkan gol antarabangsa kesembilannya menerusi sepakan penalti menentang Arab Saudi Rabu lalu, sebelum pasukannya bolos dua kali pada penghujung perlawanan.

“Perlawanan menentang Saudi sudah berakhir. Kami memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan esok (Ahad) dan kami akan memburu kemenangan. Saya berharap penyokong akan datang beramai-ramai kerana kehadiran mereka akan memberikan motivasi yang hebat kepada kami.”

“Untuk perlawanan menentang Thailand, kami akan berdepan pasukan yang kuat dan tersusun,” kata pemain tengah Al Yahyaei. “Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menang dan mendapatkan tiga mata.”

Bagi bintang Muangthong United, Weerathep, perlawanan menentang Oman memberi satu lagi peluang untuk menunjukkan pentingnya perancangan yang betul selepas taktik ketua jurulatih, Masatada Ishii berhasil dengan sempurna dalam kemenangan 2-0 atas Republik Kyrgyzstan.

Thailand bagaimanapun, menjangkakan perlawanan kedua yang lebih sukar dengan Oman kelihatan sangat berbahaya ketika menentang Arab Saudi.

“Daripada keputusan sebelum ini, kami berasa sangat baik dan itu telah memberikan kami motivasi untuk beraksi cemerlang pada perlawanan seterusnya,” kata pemain tengah berusia 27 tahun itu.

“Oman adalah pasukan yang bagus dan kuat dengan pemain berkualiti. Kami mengkaji permainan mereka menentang Saudi, supaya kami boleh membuat persediaan. Esok kedua-duanya mahu menang dan ia akan bergantung kepada siapa yang boleh mengurangkan kesilapan.

“Kami tahu Oman tetapi kami mempunyai strategi kami sendiri. Kami dalam keadaan bersedia . Sebagai pemain tengah pertahanan, tugas saya untuk menghentikan serangan. Tetapi semua pemain perlu bekerjasama untuk menyokong pasukan.”