STATUS selaku raja Piala Malaysia terus dipertahankan Selangor FC apabila pasukan itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dengan kemenangan meyakinkan 3-0, sekali gus melengkapkan agregat 5-1 di Stadium MBPJ.

Berbekalkan kelebihan satu gol dari Kota Bharu, Selangor tampil penuh keyakinan dan tidak menunggu lama untuk menguasai permainan, dengan gandingan Alvin Fortes, Chrigor Moraes dan kapten Faisal Halim menjadi nadi serangan sejak wisel permulaan.

Tekanan awal itu membuahkan hasil pada minit ke-15 apabila Chrigor membuka akaun jaringannya dalam Piala Malaysia, tenang menyudahkan hantaran Zikri Khalili untuk meletakkan The Red Giants di hadapan.

Kelantan TRW cuba bangkit menerusi gerakan Asraf Aliffuddin Yasin, namun pertahanan Selangor yang diketuai Zikri dan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi kekal kental menafikan sebarang ancaman.

Selangor terus menghukum kelalaian pelawat apabila Faisal menggandakan kelebihan sebelum rehat, menolak masuk hantaran Chrigor untuk memastikan tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Babak kedua menyaksikan drama apabila Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah pada minit ke-60 susulan terjahan yang dikesan VAR ke atas Albert Kang.

Namun kekurangan seorang pemain tidak melemahkan Selangor, sebaliknya Chrigor sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol ketiga enam minit kemudian, sekali gus mematikan terus kebangkitan Kelantan TRW.

Keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat, mengesahkan Selangor melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya, sambil mengukuhkan reputasi sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia.