MEMADAM reputasi besar beregu lelaki China dan Korea Selatan menjadi misi utama Man Wei Chong-Tee Kai Wun, di Kejohanan Dunia 25 hingga 31 Ogos ini.
Meskipun lega mendapat ‘bye’ di pusingan pertama kejohanan yang akan berlangsung di Porte de La Chapelle, mereka mengakui semua lawan tetap sukar ditundukkan sebelum mereka memikirkan perhitungan dengan beregu nombor 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae (Korea) dan pasangan keenam dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang (China).
“Harap boleh bawa balik pingat untuk Malaysia, tapi saya tak mahu fikir terlalu jauh kerana ini kejohanan paling besar dan semua pemain pun kuat,” kata Wei Chong ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pasangan pilihan ketujuh kejohanan itu dijangka bertemu beregu tuan rumah, Christo-Toma Junior Popov di pusingan kedua yang dianggap berbahaya kerana kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Sekiranya mara, mereka dijangka menentang gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy atau pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan ketiga. Manakala ujian sebenar di suku akhir apabila dijangka berdepan pasangan nombor 1 dunia, Won Ho-Seung Jae yang memiliki kelebihan pertemuan 2-0.
Pada Kejohanan Dunia 2023, Wei Chong-Kai Wun tersingkir di pusingan 16 (ketiga), namun Wei Chong percaya prestasi yang lebih baik tahun ini mampu memberi peluang lebih cerah untuk melangkah lebih jauh.
Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun sudah merangkul dua kejuaraan tahun ini, iaitu Masters Indonesia dan Masters Malaysia