PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia belum menemui resipi untuk mengatasi pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka, sejak kekalahan pada pertemuan terakhir mereka, September tahun lalu.
Zii Jia yang kini melonjak satu tangga ke ranking ke-10 dunia, sekali lagi terpaksa tunduk dengan kekalahan kedua berturut-turut di tangan lawannya itu, pada suku akhir Terbuka India di New Delhi.
Zii Jia bermula baik pada aksi di Dewan Tertutup K D Jadhav, apabila memenangi set pertama 21-13 namun dihukum dek kesilapan mudah yang dilakukannya hingga membolehkan Naraoka mencipta kebangkitan untuk menang dua set berikutnya 21-9, 21-16 sekali gus melangkah ke separuh akhir pertamanya musim ini.
“Saya sudah cuba melakukan yang terbaik dalam perlawanan hari ini. Apabila anda bermain menentang Naraoka, semuanya adalah mengenai kesabaran, anda perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.
“Pada set kedua dan set ketiga terutamanya selepas 11 mata, saya hilang sabar dan ia memberi kesan kepada saya,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Zii Jia turut tewas di tangan Naraoka di pusingan pertama Terbuka China pada September tahun lalu dalam pertarungan tiga set 24-26, 21-12, 11-21.
Sebelum Terbuka China, rekod pertemuan antara kedua-dua pemain berkenaan terikat 1-1 dengan Naraoka menang di pusingan pertama Terbuka Malaysia pada Januari manakala Zii Jia mengatasi lawan itu di suku akhir Seluruh England, pada Mac.
Kekalahan Zii Jia menyaksikan sandaran negara kini diletakkan di atas bahu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan turun beraksi di suku akhir menentang pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, malam ini.