BEREGU lelaki nombor 3 dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani duta kesihatan dan kesejahteraan AIA Malaysia selepas syarikat insurans itu mengumumkan pelantikan rasmi mereka hari ini.
Pelantikan itu mencerminkan komitmen AIA untuk memperkasakan rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup aktif, berdisiplin dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng berkata kerjasama ini membuktikan kuasa sukan mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat.

Beliau menyifatkan Sze Fei dan Izzuddin sebagai teladan terbaik kerana dedikasi, semangat juang serta pencapaian mereka di pentas antarabangsa.
Antara kejayaan terbesar pasangan beregu lelaki negara ini termasuk menjuarai Terbuka India selain melonjak kedudukan dalam ranking dunia.
“Kami amat berbesar hati menyertai AIA sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan, dan berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar kekal aktif dan utamakan kesejahteraan diri,” kata Sze Fei dan Izzuddin dalam kenyataan bersama.
Sebagai duta, pasangan ini akan terbabit dalam pelbagai inisiatif komuniti untuk berkongsi pengalaman sebagai atlet profesional sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.