PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mula mengikuti program latihan di bawah bimbingan jurulatih baharu, Wong Tat Meng, hari ini.
Kakaknya, merangkap pengurus, Lee Zii Yii berkata, kehadiran Tat Meng membolehkan Zii Jia melakukan persiapan terbaik ke Terbuka Korea yang akan berlangsung kira-kira dua minggu lagi.
Kehadiran Tat Meng sekali gus menamatkan episod Zii Jia bergerak solo tanpa jurulatih, selepas Indra Wijaya ditamatkan kontraknya, November tahun lalu.

Lee Zii Jia kembali mempunyai jurulatih selepas tujuh bulan bergerak solo.
Pada Terbuka Indonesia bulan lepas, Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England mengumumkan mahu berehat seketika daripada badminton selepas tewas di pusingan pertama kejohanan itu.
Justeru, dengan kehadiran Tat Meng, pemain yang menghuni ranking ke-14 dunia itu akan menyertai kejohanan pertamanya bersama Tat Meng pada saingan Terbuka Korea yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini di Yeosu.

Wong Tat Meng kembali melatih pemain tempatan.
“Hanya kurang dua minggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya. Jadi, adalah penting untuk pasukan untuk memberikan fokus terhadap latihan.
“Terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan daripada semua,” kata Zii Yii dalam satu kenyataan ringkas kepada media.
Di Terbuka Korea, Zii Jia akan membuka tirai saingan menentang bekas anak didik Tat Meng dari Hong Kong, Ng Ka Long di pusingan pertama.
Jika mara ke pusingan kedua, dia dijangka bertemu seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang akan membuka tirai kempen menentang Mithun Manjunath dari India.