BERSELOROH atau benar-benar ikhlas, apabila ketua jurulatih badminton Korea Selatan, Park Joo Bong menyebut Malaysia antara pencabar kejuaraan Piala Sudirman 2025.
Walau apapun tanggapan yang mahu dibuat, cabaran skuad negara pada kempen edisi ke-19 ini, tidak boleh dipandang rendah.
Dalam sesi sidang media di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, Joo Bong menamakan Malaysia sebagai pasukan yang bagus dan mampu mencabar kejuaraan.
“Malaysia… sudah tentu Malaysia juga pasukan yang bagus, Jepun, China, Indonesia, Denmark… semua ini adalah pencabar kami dalam memburu kejuaraan,” kata Joo Bong menjawab pertanyaan wartawan China Press.
Di atas kertas, Malaysia bersama Denmark, Taiwan dan Thailand hanya diletakkan selaku pilihan ke-5/8, di belakang Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan China.
Namun berdasarkan undian kumpulan, Malaysia yang berada dalam kumpulan C dilihat lebih mudah ke peringkat kalah mati berbanding pilihan kedua, Indonesia yang diundi dalam kumpulan D, bersama Denmark, England dan India, yang boleh dikategorikan sebagai kumpulan maut.
Telahan dibuat Joo Bong itu mungkin ada asasnya, selepas Malaysia memiliki tiga beregu lelaki dalam Top10 dunia, iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (no.2), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (no.4) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (no.7).
Dalam beregu campuran pula, skuad negara mempunyai dua pasangan Top 10, iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai (no.3) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (no.4) selain Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (no.14).
Kehadiran Pearly Tan-M Thinaah dalam beregu wanita negara menambahkan lagi sengat skuad Piala Sudirman, sambil mengharapkan pemain perseorangan lelaki dan wanita mencipta kejutan di kejohanan ini.