RENTETAN kejatuhan ranking dunia, Lee Zii Jia terpaksa menempuh cabaran getir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos depan, apabila diundi menentang pemain pilihan.
Jaguh profesional negara itu mendapat laluan memeritkan apabila undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, menemukannya dengan pemain ranking kelima dunia, Jonatan Christie dari Indonesia.

Jonatan Christie diundi menentang Lee Zii Jia di pusingan pertama Kejohanan Dunia.
Pemain yang berada di ranking ke-13 dunia itu, berkata, tempoh rehat ke Kejohanan Dunia agak rapat dan tidak banyak boleh dilakukannya dalam mempersiapkan diri, menghadapi saingan itu. “Tidak banyak perubahan boleh dilakukan dalam latihan,” kata Zii Jia.
Sementara itu, Ng Tze Yong yang tergelincir ke ranking 22 dunia, akan bertemu pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama. Dalam pada itu, pemain pilihan negara yang lain, boleh menarik nafas lega apabila mendapat ‘bye’.
Undian yang berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kuala Lumpur menyaksikan penyandang juara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat, hanya perlu menanti lawan di pusingan kedua.
Situasi sama diterima Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, namun berbeza dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mendapat slot ke saingan ini pada saat akhir, diundi bertemu pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar.
“Saya rasa ia bukan perkara yang mudah kerana beregu lelaki adalah kategori yang amat sengit, jadi kami hanya memberikan tumpuan kepada persiapan kami.
“Saya dan Aaron kini sedang cuba untuk mendapatkan kami dalam setiap perlawanan kami harungi, kami perlu bekerjasama kerana ini adalah kejohanan dan kami mahu memberikan yang terbaik,” kata Wooi Yik.