PENGARAH Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky menegaskan pertukaran gandingan membabitkan Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee boleh strategi untuk membantu menaikkan prestasi pemain muda ke tahap lebih tinggi.

Rexy berkata, pengalaman luas dimiliki Mei Xing dan Pei Kee perlu dimanfaatkan sebagai ‘pemangkin’ kepada atlet muda, khususnya dalam proses menyesuaikan diri di pentas antarabangsa.

Menurutnya, gandingan bersama pemain muda yang lebih segar dan kurang tekanan juga memberi ruang perkembangan jangka panjang kepada kedua-dua pemain senior itu.

“Kalau dia dengan pasangan muda itu, dengan pengalamannya dia boleh mengangkat pemain muda ini untuk bisa pergi level yang lebih jauh lagi, dengan atlet muda mungkin lebih fresh ya lebih no pressure jadi di situ KPI dia,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee kini di ranking ke-23 dunia.

“Berapa bulan tournament ini kita lihat juga akan perkembangan mereka.”

Beliau berkata pendekatan berkenaan dipersetujui hasil perbincangan bersama barisan kejurulatihan termasuk ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.

Untuk rekod, Mei Xing terpaksa bertukar pasangan selepas Pei Kee memutuskan mahu mendapatkan gandingan baharu.

Mei Xing akan bergandingan sementara dengan pemain remaja, Tan Zhing Hui manakala Pei Kee pula akan bergandingan dengan Cheng Su Hui, kedua-dua pasangan baharu itu kehilangan kehilangan gandingan yang mengalami kecederaan

Mereka dijangka beraksi pada Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 (24 Feb-1 Mac) dan Siri Antarabangsa Singapura 2026 (3-8 Mac).

Untuk rekod, gandingan Mei Xing-Pei Kee bermula pada Jun 2024 berjaya melonjak ke ranking ke-18 dunia dan memenangi Malaysia Super 100 tahun yang sama.