‘THE Rhinos’, pasukan bola sepak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meletakkan sasaran awal musim ini untuk menjulang trofi Piala Menteri Pengajian Tinggi dalam kempen Kejuaraan Bola Sepak Liga Institut Pengajian Tinggi (Liga IPT) kini berada di momentum terbaik buat pasukan.

Sasaran tekad itu telah dimuktamadkan lebih awal demi menamatkan kemarau selama 6 tahun untuk perebutan trofi paling berprestij di pentas IPT setelah kali terakhir ‘The Rhinos’ dinobatkan juara pada tahun 2016.

Dalam usaha untuk memperkuatkan pasukan, ‘The Rhinos’ juga membuat pelaburan untuk melantik bekas pemain kebangsaan pasca 2003-2005 yang juga pemilik lesen kejurulatihan Diploma A, Mohd Norhisham Hassan selaku ketua jurulatih.

Mohd Norhisham Hassan

“Syukur Alhamdulillah kami mampu untuk menang pada perlawanan sengit hari ini menentang UPM. Sebenarnya pemain-pemain kami ramai mengalami kecederaan sewaktu perlawanan terdahulu jadi persembahan ini bukanlah yang terbaik buat pasukan.

“Namun keputusan memihak kepada mereka yang berjuang bermati-matian di atas padang untuk mara ke pusingan separuh akhir nanti walaupun dengan kekurangan yang ada.

“Ini momentum terbaik buat kami dari UniSZA untuk menghampiri perlawanan akhir merebut Piala Kementerian Pengajian Tinggi setelah 6 tahun kami kemarau piala.

“Begitu juga setelah dua tahun tanpa sebarang pertandingan yang kompetitif buat pasukan bola sepak UniSZA.. dengan percaturan pemain-pemain baharu yang pertama kali untuk merasai kehangat kempen musim ini.

“Bertemu UPMN pada perlawanan separuh akhir nanti.. tiada sebarang jangkaan awal boleh kami rumuskan kerana kami belum pernah bertemu malah mereka juga merupakan pasukan pilihan buat musim ini.

“Walaubagaimanapun kami amat mengharapkan tuah untuk kami mara ke pusingan akhir nanti, insyAllah,” ujar ketua jurulatih Mohd Norhisham Hassan yang ditemui FLASH SUKAN.

Aksi pemain pasukan ‘The Rhinos’ (hitam kuning) selaku tuan rumah setelah menafikan UPM melalui penentuan sepakan penalti setelah mengikat keputusan seri 1-1 bagi saingan suku akhir.

Persiapan rapi di awal musim memperlihatkan aksi ‘The Rhinos’ berjaya mengekalkan prestasi untuk mencatatkan rekod tanpa kalah dalam ke semua aksi perlawanan di peringkat kumpulan sebelum melangkah ke pusingan suku akhir ini.

Terkini pada perlawanan suku akhir yang telah berlangsung di padang UniSZA, pasukan tuan rumah berjaya menafikan Universiti Putra Malaysia(UPM) yang hadir selaku pasukan pilihan dalam penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 walaupun setelah tambahan masa diberikan.

Seterusnya bagi aksi penentuan separuh akhir, pasukan IPT tunggal dari pantai timur ini dijadualkan bertandang ke tempat lawan untuk bertemu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPMN) pada Selasa nanti.