PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melantik Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Laluan Bakat bagi menyampaikan standard latihan kebangsaan ke peringkat negeri bermula 1 Mac ini.
Pelantikan itu dilihat langkah strategik untuk memastikan pembangunan di persatuan negeri bergerak seiring dengan hala tuju teknikal serta prestasi skuad kebangsaan.
Dalam peranan baharunya, Lim akan memantau keseluruhan struktur pembangunan pemain termasuk menyelaras program negeri agar selari dengan rangka kerja latihan kebangsaan.
Beliau turut bertanggungjawab memperkukuh struktur latihan, metodologi kejurulatihan, pemantauan kecergasan serta penggunaan pendekatan sains sukan yang lebih sistematik.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan langkah itu penting bagi merapatkan jurang kualiti antara pemain negeri dan skuad elit.
“BAM akan lakukan pemantauan berkala setiap dua atau tiga bulan bagi menilai perkembangan pemain serta memberi panduan tambahan kepada jurulatih negeri,” kata Chong Wei dalam kenyataan yang dikeluarkan badan induk badminton negara, itu.
Menurut beliau, kekuatan pembangunan di peringkat negeri menjadi asas utama dalam melahirkan pemain yang mampu diserap ke skuad kebangsaan setiap tahun.
Inisiatif jangka panjang itu juga bertujuan memastikan kesinambungan prestasi negara dengan sasaran awal mengenal pasti pemain berpotensi untuk temasya Olimpik 2032 dan 2036.