PASUKAN Negeri Sembilan FC terus komited dalam pembangunan bakat muda dengan menyerap lima pemain berbakat dari skuad Piala Presiden musim ini ke pasukan Piala MFL dan Liga Super.
Langkah ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka, malah turut menyuntik tenaga baharu ke dalam pasukan utama bagi menghadapi cabaran kompetitif di peringkat lebih tinggi.
Lima pemain muda itu ialah pasangan kembar Muhammad Noor Aidil dan Muhammad Noor Adha, pemain pertahanan, Muhammad Haiqal Danish, serta dua penyerang, Muhammad Zaim Iqbal dan Harish Thigarajah.
Kesemua pemain ini berumur 20 tahun dan menunjukkan mereka masih berada dalam fasa awal perkembangan karier bola sepak namun telah memperlihatkan potensi besar yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada pasukan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, langkah menyerap lima pemain muda ini memperlihatkan strategi jangka panjang Negeri Sembilan FC dalam mengembangkan bakat muda dan memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk menyinar.
“Pemain-pemain ini adalah antara pemain yang berada dalam perancangan jangka panjang kelab. Pihak kelab percaya dengan pendedahan yang lebih kompetitif, pemain-pemain ini akan terus berkembang serta mampu menjadi tonggak utama pasukan pada masa akan datang.
“Ini juga adalah satu langkah positif bagi pemain-pemain tersebut untuk menimba lebih pengalaman dalam menghadapi saingan yang kompetitif,” katanya.
Skuad Piala Presiden Negeri Sembilan FC beraksi sehingga peringkat suku akhir dalam saingan Piala Presiden musim ini dengan kedudukan baki pemain dari skuad Piala Presiden akan dinilai semula menjelang musim baharu 2025.
Kesungguhan dan usaha Negeri Sembilan FC dalam membangunkan bakat muda ini diharap akan membuahkan hasil, bukan sahaja untuk pencapaian kelab pada musim ini, tetapi juga untuk masa depan bola sepak Negeri Sembilan.