SUSULAN insiden seorang penyokong bola sepak Malaysia mengalami kecederaan selepas tamat perlawanan malam tadi, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah mengambil langkah segera dengan menghantar individu yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin.
Menerusi hantaran Facebook Presiden FAT, Madam Pang, pegawai bahagian antarabangsa persatuan tersebut telah menyediakan segala kemudahan dan menguruskan bayaran rawatan perubatan dengan baik untuk memastikan individu terbabit berasa tenang walaupun berada di negara asing.
Dalam rawatan tersebut, pihak hospital telah menjalankan imbasan CT (CT Scan) ke atas bahagian kepala bagi mendapatkan keputusan yang lebih terperinci.
Doktor telah menasihatkan agar individu berkenaan terus ditahan di hospital untuk rawatan lanjut pada malam ini (semalam) sementara menunggu konsultasi dengan pakar bedah ortopedik.
Namun begitu, disebabkan keperluan mendesak untuk pulang ke Malaysia pada keesokan harinya, individu yang cedera telah memilih untuk meneruskan rawatan di tanah air.
Berhubung dengan insiden selepas perlawanan tersebut, pihak keselamatan dan polis akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya.
Pihak FAT, melalui #TeamAdminMadamPang, mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak dan berjanji untuk memastikan segala urusan berjalan dengan lancar demi kebaikan bersama.
ARTIKEL BERKAITAN : Perbalahan tegang penyokong Thailand dan Malaysia selepas perlawanan