BINTANG Liga Perdana Inggeris, Lucas Neill yang pernah mendapat bayaran £40,000 (RM236 ribu) seminggu semasa bermain mendakwa kini dia bahkan tidak mampu membeli telefon.
Pada pertengahan tahun 2000-an, Neill,45 merupakan seorang hero bola sepak sebagai kapten West Ham dan bermain dalam Piala Dunia 2006. Sebelum ini, dia menjalani kehidupan mewah dengan memiliki sebuah Ferrari di garaj dan bercuti di Maldives.
Kini, dia menjalani kehidupan yang sangat berbeza selepas bankrap dan baru-baru ini berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara kerana dituduh gagal mengisytiharkan wang yang tidak pernah diketahuinya.
Dia telah dituduh menyembunyikan lebih dari £2 juta (RM11.8 juta) daripada pihak pemiutang.
Minggu lalu, juri di Mahkamah Preston Crown mengambil masa hanya 26 minit untuk membebaskannya daripada tuduhan.
Neill memberitahu media The Times: “Saya telah memenangi hak kebebasan saya, tetapi saya merasa seperti saya telah kalah dalam kehidupan.”
Semasa dia bergelut dengan masalah kewangan, isterinya, Lindsey Morris, seorang ahli terapi kecantikan dan juga jurulatih peribadi, mencari nafkah untuk keluarganya sementara Neill hanya mendapat pencen bola sepaknya sebanyak £900 (RM5,309.27) sebulan.
Neill menyalahkan dirinya sepenuhnya atas kegagalan menguruskan wang. Bapa kepada dua orang anak itu berkata: “Saya rasa saya tidak melindungi keluarga saya… dan itu menyakitkan. Saya mengecewakan keluarga saya.”
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional telah memberi amaran bahawa antara 10 hingga 20 peratus pemain profesional muflis apabila mereka bersara.
Terdahulu, Neill telah dinasihatkan untuk melabur jumlah wang yang besar ke dalam skim yang menjanjikan pelaburan dalam filem-filem British sebagai pertukaran untuk potongan cukai yang besar.
Skim itu kelihatan sah dan didorong oleh akauntan dan penasihat kewangan serta kerajaan telah memperjuangkan pelepasan cukai pelaburan. Namun, pegawai cukai akhirnya menyiasat dan memaksa mereka yang melabur dalam skim tersebut membayar semula wang yang mereka tuntut dan ada yang melibatkan puluhan ribu pound.
Neill menambah: “Adakah anda memerlukan penasihat kewangan profesional ini? Saya sangat berjaya dalam dunia bola sepak, tetapi saya jelas tidak bersedia untuk dunia lain (dunia perniagaan). Dan saya telah belajar dengan cara yang sukar.”
HMRC memberitahu Neill berhutang £400,000 (RM2.36 juta) terpaksa menjual tujuh atau lapan hartanah, kehilangan wang pada setiap satu, untuk membayarnya kembali. Dia turut gagal membayar pinjaman NatWest yang telah diambilnya untuk membayar sebuah gudang berhampiran Newcastle.
Semasa pertemuan dengan perkhidmatan insolvensi, dia sepatutnya menyenaraikan semua asetnya, tetapi terlupa untuk menyebut 144 ekar tanah yang dibelinya di sekitar gudang. Pihak insolvensi telah menyiasat Neill selama tujuh tahun, dan dia tidak dapat memiliki rumah sendiri, atau bahkan mengambil kontrak telefon bimbit.