SKUAD hoki remaja wanita negara mempamerkan aksi garang apabila membelasah Hong Kong 11-0 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5 hingga ke-8 pada Piala Remaja Wanita Asia 2024, di Stadium Hoki Al-Amarat, pada Sabtu.
Kemenangan besar ini bukan sahaja membuktikan keampuhan pasukan negara, malah menjadi tonik semangat menjelang perlawanan penting menentang Thailand, yang akan menentukan nasib Malaysia ke Piala Dunia tahun hadapan.
Pasukan kendalian Lailin Abu Hassan tampil dengan dominasi penuh di atas padang, dengan gandingan serangan yang tajam serta penyudah klinikal dalam kawasan D.
Azmyra Mia Sofea Azhairy menjadi bintang utama dengan hatrik di minit ke-4, ke-16, dan ke-28, selain menerima anugerah Rising Star atas persembahan cemerlangnya.
Kapten pasukan, Anith Humaira Baharudin, turut mencuri perhatian apabila meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-20, ke-45, dan ke-49, sekali gus dinobatkan sebagai Player of The Match.
Selain itu, Nurshamine Azureen Mohammed Badusha (minit ke-5), Nurdini Batrisyia Mohd Ridzuan (minit ke-17), Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam (minit ke-30 dan ke-39), serta Siti Nur Irdina Mohd Nor (minit ke-54) turut menyumbang nama sebagai penjaring dalam kemenangan bergaya ini.
Lailin Abu Hassan jelas berpuas hati dengan prestasi pasukan, terutamanya dalam aspek kerjasama dan penyudah.
“11 jaringan yang kita dapat menentang Hong Kong hari ini menunjukkan pemain-pemain telah memberikan prestasi yang baik.
“Mereka bergerak dalam satu pasukan dan mempunyai penyudah yang baik di dalam D.
“Apabila mendapat PC, saya positif dengan kondisi mereka, di mana beberapa set piece berjaya dilakukan dengan baik,” katanya selepas perlawanan.
Namun, ketua jurulatih itu menekankan cabaran getir yang menanti pasukannya hari ini, apabila Malaysia akan berdepan Thailand dalam perlawanan penentuan tempat ke-5 yang penting untuk kelayakan ke Piala Dunia.
“Thailand bukan pasukan yang mudah untuk kita kalahkan walaupun kita menewaskan mereka dalam peringkat kumpulan.
“Saya akan menekankan kepada pemain supaya lebih fokus dan mempunyai semangat serta winning mentality untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia tahun hadapan,” tambahnya.
Kemenangan ke atas Thailand bakal membuka peluang besar untuk skuad muda negara melayakkan diri ke pentas dunia, dan semangat juang yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Hong Kong pasti menjadi sandaran.
Sokongan serta fokus setiap pemain akan menjadi kunci kejayaan buat skuad bimbingan Lailin Abu Hassan.