STADIUM Bishan kini bersiap siaga menjadi saksi detik bersejarah bola sepak Singapura apabila Lion City Sailors melangkah ke final Asian Champions League Two (ACL2) menentang Sharjah FC dari Emiriah Arab Bersatu 18 Mei ini.

Kapasiti stadium itu akan ditingkatkan kepada 10,000 tempat duduk dengan pemasangan struktur tambahan di tiga sisi padang bagi memberi ruang kepada lebih ramai penyokong menyaksikan aksi berkelas benua itu.

“Final ini bukan hanya satu pencapaian buat Sailors ia adalah sambutan untuk bola sepak Singapura,” kata Pengerusi Sailors, Forrest Li, yang mahu melihat seluruh negara bersatu memberi sokongan.

Pekerja menambah tempat duduk ke tempat east stand yang baru didirikan di Stadium Bishan pada 5 Mei. FOTO: GIN TAY

Sebelum ini, Sailors beraksi di Stadium Jalan Besar sepanjang kempen ACL2, namun permintaan rasmi Sharjah agar aksi final dipindahkan akibat faktor rumput tiruan dan kapasiti kecil telah membawa perlawanan ke Bishan.

Bagi memastikan standard perlawanan bertaraf antarabangsa, kerja-kerja penambahbaikan turut dilakukan termasuk penyelenggaraan padang rumput semula jadi dan naik taraf lampu limpah mengikut keperluan siaran langsung.

AFC dijangka melakukan pemeriksaan akhir minggu ini selepas memberikan kelulusan sementara pada 23 April lalu.

Lion City Sailors mara ke final selepas menundukkan Sydney FC dengan agregat 2-1, manakala Sharjah turut mencatat keputusan sama ke atas Al-Taawoun dari Arab Saudi.

Final ACL2 tahun ini menjadi giliran zon Timur untuk menjadi tuan rumah, sekali gus memberi peluang emas buat Sailors mengukir nama di bumi sendiri.

 

FOTO: GIN TAY