ELAUN khas bakal dinikmati karateka negara, sekiranya berjaya menempatkan diri dalam kelompok ranking lima teratas dunia, mengikut kategori masing-masing.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, keputusan mengenai perkara itu dicapai pada Mesyuarat Agung badan induk sukan karate negara, demi menjaga kebajikan atlet dan juga, menggalakkan mereka memburu pencapaian terbaik di pentas antarabangsa.
“Ketika ini, atlet kita C.Shahmalarani berada di ranking ke-20 dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik 40 lebih.
“Selain itu beberapa atlet lagi dalam ranking Top 100.
“Elaun ini kita mahu sampaikan sebagai memberi semangat keapda atlet untuk terus fokus berjuang di semua peringkat kejohanan,” kata Nur Azmi, pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Makaf 2024 di Hotel Eastin, di ibu negara.
Menurut beliau, suntikan ‘vitamin’ itu akan diberi secara bulanan selagi atlet terbabit berjaya mengekalkan kedudukan rankingnya di kelompok teratas dunia.
Sebelum itu, Makaf menyerahkan insentigf berjumlah RM20,000 kepada lima karateka yang berjaya menyumbang pingat kepada negara pada tahun 2023 dan awal tahun ini.
Mengetuai penerima insentif terbabit, Arif yang merangkul pingat emas kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) di Sukan Asia Hangzhou 2022 Oktober tahun lalu, Shahmalarani yang meraih pingat emas pada Kejohanan Karate 1 Siri A, Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus dalam acara kumite 50kg wanita, Januari lalu.,
Lovelly Ann Roberth, Niathalia Sherawinnie Yampil dan Naccy Elly Evvaferra Rojin pula menyumbang pingat perak acara kata berpasukan dan Lovelly juga menyumbang sebutir lagi perak dalam acara kata individu.