PASUKAN Malaysia menyambar tiket beraksi di Piala Asia Futsal 2026, di sebalik tewas kepada Iran dalam aksi terakhir kelayakan di Stadium Tertutup SUKPA pada Rabu.

Tatkala Iran layak selaku juara Kumpulan G setelah melakar tiga kemenangan dalam tiga aksi, Malaysia pula mara selaku satu daripada tujuh pasukan naib juara terbaik.

Ia turut dibantu kekalahan dialami Myanmar dalam aksi Kumpulan H.

Kejayaan ini sekaligus menoktahkan penantian lapan tahun Malaysia bermain di Piala Asia, setelah kali terakhir melakukannya pada 2018.

Dalam aksi di ‘fullhouse’ SUKPA, Iran menjaringkan dua gol di setiap babak permainan untuk melakar kemenangan 4-0 ke atas Malaysia.

Skuad Vahid Shamsaee yang menjaringkan 22 gol dalam dua perlawanan terdahulu, mendapati Malaysia terlalu liat dan di sebalik tewas, kredit wajar diberikan kepada skuad negara yang tampil dengan aksi berani.

Malah, Malaysia kendalian Rakphol Sainetngam beberapa kali juga berjaya mencemaskan gawang Iran dengan peluang terbaik hadir menerusi Syahir Iqbal Khan, Khairul Effendy dan Harith Naim di penghujung perlawanan.