PASUKAN Futsal Emiriah Arab Bersatu (UAE) menutup kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2026 dengan kemenangan 8-2 ke atas Bangladesh, di Stadium Tertutup SUKPA pada Rabu.
Kedua-dua pasukan yang sudahpun tersingkir setelah tewas dua aksi pertama, turun membawa misi mengelak pulang dengan tangan kosong.
Separuh masa pertama berlangsung seimbang dan berkesudahan seri 1-1, sebelum UAE tampil garang di babak kedua untuk mengesahkan tiga mata.
“Terima kasih Malaysia dan SUKPA atas penganjuran pertandingan yang berkualiti. Satu pengalaman yang memberi banyak pengajaran dan mematangkan pemain kami.
“Perjalanan jauh ke Malaysia membuka mata pemain tentang standard antarabangsa, terutama dari segi intensiti dan taktikal lawan. Apabila pulang nanti, kami akan manfaatkan segala pengalaman di sini untuk meningkatkan lagi tahap permainan kami,” ujar Ricardo Camara Sobral, pengendali UAE.
Manakala pengendali Bangladesh, Saeid Khodarahmi berkata meskipun tidak gembira dengan keputusan perlawanan, pasukannya tetap membawa pulang sesuatu yang berharga.

“Dari sudut pembangunan, inilah peluang terbaik untuk mereka belajar dan mengukur kemampuan diri. Saya yakin, dengan pendedahan sebegini, kita akan dapat membina skuad yang berdaya saing.
“Futsal di Bangladesh masih berkembang, infrastrukturnya masih jauh ketinggalan, pembangunan belum menyeluruh.
“Sebab itu, peluang untuk beraksi di Malaysia ini sangat besar ertinya kepada kami. Ini bukan kegagalan, tetapi pembelajaran.”
SUMBER: MUHAMMAD AIMAN
FOTO: FAM