TENAGA Nasional Berhad (TNB) sudah pun memainkan peranan penting dalam perkembangan hoki negara melalui sokongan berterusan di peringkat akar umbi.

TNB memulakan penglibatan awalnya melalui penganjuran Klinik Hoki remaja yang membuka ruang pendedahan kepada pemain muda, sebelum meneruskan sumbangan tahunan bagi program yang sama sejak 2004 untuk remaja berusia 12 hingga 18 tahun.

Program tersebut turut melibatkan jurulatih kebangsaan dan bekas pemain negara, menjadikannya antara platform terawal untuk mencungkil bakat muda secara tersusun.

Komitmen jangka panjang TNB dalam menaikkan taraf pembangunan akar umbi bukan sekadar inisiatif sementara, tetapi usaha berterusan yang menyediakan laluan jelas bagi pemain muda melangkah dari peringkat sekolah dan kelab kecil ke arena kebangsaan.

Pada 2006, usaha itu diperkukuh dengan penubuhan program TNB Thunderbolts, projek pembangunan paling tersusun yang menyatukan sekolah sukan, kelab dan akademi di bawah satu sistem latihan profesional.

Melalui TNB Thunderbolts, pemain muda menerima akses kepada kem latihan intensif, peralatan yang lebih baik serta peluang bersaing dalam kejohanan berprestij, sekali gus mempercepatkan kematangan permainan mereka.

Sokongan menyeluruh ini turut merangkumi pembiayaan infrastruktur, penyediaan jurulatih berkualiti, penganjuran klinik pembangunan serta pembentukan laluan kerjaya sukan yang konsisten, menjadikan TNB antara pihak paling berpengaruh dalam membentuk ekosistem hoki negara.

Penglibatan berpanjangan itu memastikan kesinambungan bakat dapat dipelihara, membolehkan generasi baharu pemain muncul secara konsisten untuk mengisi skuad pelapis dan seterusnya pasukan kebangsaan.

Dalam persiapan menuju Piala Dunia Hoki Remaja 2025 FIH di Tamil Nadu, India hujung bulan ini, sokongan mendalam TNB sejak beberapa dekad terbukti menjadi antara faktor utama yang memungkinkan Malaysia terus melahirkan pemain berkualiti di pentas dunia.