AUSTRALIA mengiringi Argentina ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2023, selepas menewaskan Malaysia 5-2.
Ketika Argentina sudah melayakkan diri selepas memenangi perlawanan kedua ke atas Malaysia, Rabu lalu, The Burras dan Young Tigers memburu satu lagi slot yang tinggal.
Ketua jurulatih Australia, Jay Stacy berkata, beliau menjangkakan kemenangan dengan keputusan yang sengit, namun sebaliknya berlaku.
“Saya tidak menjangkakan jumlah jaringan yang besar tapi permulaan yang baik meraih tiga gol dalam suku pertama.
“Kami hanya mahu bermain mengikut corak dan rentak dengan mengambil kesempatan atas peluang terhidang dan perkara itu berlaku apabila pasukan lawan membuka ruang buat kami menjaringkan gol,” kata Jay Stacy.
Kemenangan itu membolehkan mereka muncul naib juara kumpulan A, dan akan berdepan juara kumpulan B, Perancis di suku akhir nanti.
“Perancis sebuah pasukan yang baik, kami akan kaji lebih terperinci corak permainan, kekuatan dan kelemahan pasukan itu.
“Kami mempunyai masa beberapa hari untuk membuat analisa dan persediaan menentang mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Argentina meneruskan rekod bersih 100 peratus kemenangan apabila membelasah Chile 8-0.
Pasukan dari Amerika Selatan itu berjaya menjaringkan 13 gol di peringkat kumpulan dan muncul satu-satunya pasukan belum dibolosi pada edisi kali ini.
Sebagai juara kumpulan A, Argentina akan berdepan Jerman di suku akhir, Selasa ini.