PERLAWANAN antara Manchester United dan Liverpool pada aksi Liga Inggeris (EPL) di Old Trafford malam ini dijangka akan menjadi perlawanan yang ‘panas’ dan cukup menarik.
Persaingan sengit antara United dan Liverpool tidak pernah lapuk, apatah lagi sejak dari era jurulatih Sir Alex Ferguson berakhir, The Red Devils tidak pernah berjaya menjadi juara di Liga Inggeris.
Tidak dinafikan juga bahawa perlawanan antara United dan Liverpool sentiasa menjadi tumpuan penonton bola sepak di serata dunia.
Oleh itu, secara tidak langsung ini akan menjadi misi utama buat pasukan, United dan Liverpool untuk membuktikan kehebatan mereka kerana masing-masing mempunyai kepentingan yang sama untuk menang di Old Trafford.
Bagi United, mereka perlu mendahului aksi malam ini supaya mereka dapat mengekalkan peluang untuk berada di kedudukan empat teratas, manakala Liverpool perlu mencari tiga mata untuk menyingkirkan Arsenal dari puncak klasemen.
Jadi, sama-sama kita nantikan aksi mendebarkan yang akan berlangsung malam ini, sama ada pasukan kendalian Erik Ten Hag berjaya menundukkan Liverpool atau pun pihak lawan itu berjaya memanipulasikan kelemahan United yang sebelum ini telah tewas dalam perlawanan kepada Chelsea.