BINTANG Brazil, Gabriel Martinelli muncul wira Arsenal apabila jaringan dramatiknya pada masa kecederaan memastikan The Gunners meraih keputusan seri 1-1 menentang Manchester City dalam aksi penuh mendebarkan di Emirates.
Manchester City membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 menerusi Erling Haaland yang pantas menghukum kelalaian benteng Arsenal. Tersentak dengan gol awal itu, The Gunners gagal menemui rentak permainan dan terus buntu mencipta peluang berbahaya sepanjang babak pertama.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Mikel Arteta kembali garang dengan tempo permainan lebih tinggi. Arsenal mula menguasai perlawanan sambil mengasak kubu City yang terpaksa bertahan habis-habisan, asakan berterusan itu akhirnya menghadiahkan detik yang dinantikan.
Saat yang dinanti penyokong tiba pada minit ke-93 apabila Martinelli, yang masuk sebagai pemain gantian, meledak gol indah menerusi sepakan lob menewaskan penjaga gol City, jaringan lewat itu mencetuskan sorakan padu di Emirates.
Dalam 10 pertemuan terakhir, Manchester City mendominasi dengan enam kemenangan, manakala Arsenal hanya meraih dua kemenangan dan dua lagi berakhir seri.
Keputusan seri itu meletakkan Arsenal di tangga kedua dengan 10 mata, lima mata di belakang Liverpool dan mereka seterusnya akan berdepan Newcastle pada 28 September ini.
Kredit Gambar : Laman Sesawang Rasmi Arsenal.com