TONGGAK Harimau Malaya, Ridzwan Bakri percaya skuad negara sudah bersedia menampilkan satu lagi permainan penuh fokus dan berdisiplin, apabila turun berdepan Bangladesh dalam aksi kedua pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2026, pada Isnin.

Walaupun berpeluang besar mengaut tiga mata menentang lawan yang dianggap paling lemah dalam kumpulan G itu, Ridzwan berkata kelebihan di atas kertas bukan jaminan.

“Kita jangan lihat Bangladesh sebelah mata. Jangan terbuai atau hilang fokus dengan anggap ia cuma Bangladesh. Satu kesilapan biasanya sudah cukup untuk hukum kita.

“Jadi saya mahupun rakan sepasukan perlu berikan satu lagi aksi tahap tertinggi, lebih dari apa yang kita buat masa lawan UAE. Bermain dengan disiplin penuh dan lebih tajam di depan gol,” ujar Ridzwan.

Terdahulu pada Sabtu, Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan kemenangan, setelah menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0, menerusi jaringan Awalluddin Mohd Nawi.

Manakala Bangladesh pula tewas besar 0-12 kepada gergasi futsal Asia, yang juga pasukan nombor lima dunia, Iran. Malaysia perlu berada dalam kalangan lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik di pusingan kelayakan untuk menempah tiket ke Piala Asia pada Januari.

Dalam pada itu, Ridzwan turut mengharapkan dapat melihat penyokong sekali lagi dapat memenuhi segenap ruang di SUKPA dengan mengakui sorakan mereka membantu menyuntik motivasi pemain.

Ironinya, Iwan bukan nama asing bagi penyokong di Kuantan, dia menjadi kesayangan penyokong di gelanggang keramat itu selama empat musim dari 2020-2023.

Setelah memainkan peranan instrumental membantu Pahang Rangers menjulang kejuaraan berganda Malaysia Premier Futsal League dan Futsal Cup pada 2023, dia menyertai JDT.

 

SUMBER:MUHAMMAD AIMAN