BINTANG tengah Leicester City, Hamza Choudhury, kini secara rasmi beralih arah mewakili Bangladesh selepas mendapat kelulusan daripada Fifa.
Graduan akademi Leicester City yang dilahirkan di Loughborough ini pernah membuat tujuh penampilan untuk pasukan Bawah-21 England dan layak bermain untuk Bangladesh melalui keturunan keluarganya.
Pemain berusia 27 tahun itu akan menjadi pemain Liga Perdana Inggeris pertama yang mewakili pasukan Bengal Tigers, yang kini menduduki tangga ke-185 dalam ranking dunia Fifa.
“Kami dengan gembira memaklumkan bahawa Hamza Dewan Choudhury telah mendapat kelulusan untuk bermain untuk Bangladesh.
“Keputusan ini dibuat oleh Player’s Status Chamber daripada Tribunal Bolasepak Fifa,” kata Persekutuan Bolasepak Bangladesh.
Choudhury telah membuat 89 penampilan liga sejak debut seniornya bersama Leicester pada tahun 2017 dan merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala FA pertama kelab itu pada tahun 2021.
Dia juga merupakan satu-satunya pemain Asia-British yang sedang bermain di Liga Perdana Inggeris, manakala pemain tengah Arjan Raikhy yang turut bersama Leicester masih belum membuat debut dalam liga utama itu.
Choudhury berkata: “Saya sangat gembira semuanya selesai, dan saya tidak sabar untuk bermain bersama Bangladesh.”