QATAR sedang berusaha keras mendesak UEFA supaya menyingkirkan Israel daripada saingan bola sepak Eropah, dengan undian penting dijangka berlangsung pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UEFA hari Selasa, bertepatan dengan sambutan Tahun Baru Yahudi.
Di Doha dilaporkan giat menjalankan usaha sejak beberapa minggu kebelakangan ini untuk mendapatkan sokongan majoriti bagi menyingkirkan Israel, menurut laporan Israel Hayom pada Sabtu, sebahagian besar daripada 20 ahli jawatankuasa eksekutif UEFA yang mempunyai hak mengundi dikatakan bersetuju dengan cadangan tersebut, manakala hanya dua atau tiga negara sahaja yang kekal menentang.
Pada masa sama, pegawai negara penjajah itu dilaporkan sedang berusaha di belakang tabir bagi memastikan isu ini tidak dibawa ke undian pada Selasa namun, Qatar dilihat semakin menggandakan tekanan khususnya selepas serangan di Doha pada 9 September yang menyasarkan pemimpin Hamas, sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan di Baitul Maqdis sehari sebelumnya yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 21 yang lain.
Beberapa perlawanan antarabangsa kini turut menjadi tanda tanya sementara menunggu keputusan undian yang dijadualkan pada Rosh Hashanah. Antaranya, Maccabi Tel Aviv sepatutnya memulakan kempen Liga Europa menentang PAOK Thessaloniki di Greece, sehari selepas undian berlangsung.
“Kami sedang berusaha dari setiap sudut,” kata seorang pegawai kanan Persatuan Bola Sepak Israel menegaskan bahawa “tiada siapa dalam persatuan ini yang akan berdiam diri atau leka.”
Sekiranya penggantungan itu menjadi kenyataan, kempen kelayakan Piala Dunia 2026 pasukan kebangsaan Israel di bawah kelolaan UEFA akan terbatal. Selain itu, kelab-kelab Israel turut berdepan larangan untuk menyertai Liga Europa UEFA serta kejohanan kelab Eropah yang lain.