BOLA sepak negara dikejutkan baru baru ini dengan pendedahan bekas pemain yang kini bertugas sebagai pengarah teknikal skuad hijau kuning tampil meluahkan penderitaan apabila mendakwa tidak menerima gaji selama beberapa bulan.
Dalam luahan penuh emosi, bayaran terakhir yang diterima hanyalah sebahagian kecil gaji pada 10 Januari lalu, sebelum segala usaha untuk menghubungi pihak kelab menemui jalan buntu.
“Situasi kini berubah apabila saya menghadapi kesukaran hidup selepas lebih dua bulan tidak menerima sebarang bayaran gaji daripada pihak kelab untuk kontrak baru (November 2025) dan masih belum menerima tunggakan gaji daripada kontrak lama,” menerusi perkongsiannya di Facebook peribadi beliau.
Situasi tersebut memberi kesan besar kepada kehidupannya apabila beliau kini berdepan masalah kewangan serius sehingga tidak mampu menampung keperluan asas termasuk bayaran sewa rumah.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan sedang berdepan isu perundangan di negara asalnya, Chile, yang memerlukan perhatian segera namun tidak dapat diselesaikan akibat kekangan semasa.
Sebagai seorang bapa, beliau mengakui tekanan semakin memuncak apabila gagal menyediakan keperluan asas buat keluarga dalam keadaan yang disifatkan amat menyeksakan.
Walaupun berdepan kesukaran, beliau tetap menghargai sokongan peminat serta rakan terdekat yang banyak membantu sepanjang tempoh sukar ini.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak pengurusan tertinggi kelab dapat tampil memberikan penjelasan serta menyelesaikan isu secara profesional demi menjaga maruah kedua-dua pihak.
Beliau memohon doa serta sokongan orang ramai dan mengakui tindakan mendedahkan perkara ini dibuat sebagai jalan terakhir selepas tidak lagi mampu menghadapi situasi tersebut bersendirian.
Sumber Gambar : Facebook Nelson San Martin
