Pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley dijangka memainkan peranan lebih aktif dalam program skuad trek kebangsaan susulan prestasi kurang memberangsangkan pada Asian Track Cycling Championships 2026 di Filipina, baru-baru ini.
Beasley mengakui sebelum ini beliau memberi ruang kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Harnizam Basri untuk mengendalikan pasukan, namun kegagalan mencapai sasaran memaksanya menilai semula pendekatan sedia ada.
Pada kejohanan tersebut, Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat perak, masing-masing menerusi acara pecut berpasukan wanita dan 1 kilometer (km) ujian masa wanita.
Pingat pertama diraih menerusi gandingan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid dalam acara pecut berpasukan, sebelum Nurul Izzah menambah satu lagi perak dalam acara individu 1km ujian masa.
Prestasi itu jelas merosot berbanding edisi tahun lalu apabila skuad negara meraih dua emas, empat perak dan empat gangsa, selain menyaksikan Nurul Izzah gagal mempertahankan emas acara keirin.
Menurut Beasley, fokus utama selepas ini adalah memperkukuhkan aspek analisis prestasi, penilaian perlumbaan serta pembangunan taktikal menggunakan teknologi video.
“Saya sebelum ini memberi ruang kepada jurulatih untuk memimpin, tetapi berdasarkan apa yang kita lihat di Kejohanan Asia, kita perlu beri penekanan lebih kepada analisis dan penambahbaikan taktikal.
“Kami akan mengumpulkan semua jurulatih minggu depan untuk sesi penilaian penuh kerana terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap atlet perlu lebih bertanggungjawab terhadap prestasi masing-masing selain meningkatkan komitmen dan etika kerja dalam program berprestasi tinggi.
“Ada prestasi yang baik, tetapi ada juga yang tidak mencapai standard. Peluang perlu direbut dan tahap akauntabiliti perlu dipertingkatkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Beasley menyifatkan Nurul Izzah tetap menunjukkan konsistensi walaupun belum mencapai tahap prestasi terbaik.
Katanya, peningkatan yang dipamerkan pelumba itu termasuk kejayaan meraih dua perak serta kedudukan keempat dalam acara pecut menjadi petanda positif untuk perkembangan seterusnya.