KETUA Jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen mengakui masalah menyempurnakan peluang adalah punca utama pasukannya gagal menyekat kemenangan Malaysia sekali lagi.

Kekalahan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim itu mengulangi kekalahan mereka dengan jumlah jaringan yang sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun 2022.

Namun Andersen tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya tetapi terpaksa mengakui Malaysia adalah pasukan yang lebih baik.

“Tahniah kepada Malaysia sekali lagi. Mereka adalah pasukan yang kuat dan penyerang mereka mengambil peluang. Kami masih gagal menyudahkan peluang dan ini adalah masalah yang perlu diperbaiki.

“Saya gembira dengan cara kami bermain. Kami menggerakkan bola dan mempunyai percubaan yang berbahaya. Babak kedua kami cuba lakukan sesuatu dan kami cuba memperbaiki persembahan.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan tetapi saya rasakan keputusan perlawanan akan menjadi lain jika kami berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Andersen juga mengatakan bahawa pasukannya pada tahun ini lebih bersedia berbanding tahun lalu dan dapat memberikan tentangan hebat kepada Malaysia namun masih ada ruang untuk diperbaiki.

Dia turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pemenang kasut emas Bundesliga kepada pemain penyerang Hong Kong selain menunggu seorang lagi pemain penyerang naturalisasi dalam usaha menyelesaikan masalah penyudah ini.